Selasa, 29 Januari 2013

I like!!







keindahan kedamaian my hobi.. Balqis photography
Dalam kehidupan kita, ada perkara yang kita boleh fahami dengan akal melalui pembelajaran, tetapi ada juga perkara yang kita tidak mampu untuk faham melainkan terlebih dahulu kita rasai dan kecapi perkara tersebut.
Sebagai contoh, kita tidak mampu untuk faham indahnya sebuah percintaan selepas pernikahan, melainkan setelah kita terlebih dahulu merasai dan mengecapi keindahan cinta tersebut.
Biasanya, keindahan ini tidak akan dapat dirasai oleh kita, melainkan setelah melalui proses mujahadah dan kesungguhan melawan apa yang bertentangan dengan keindahan tersebut. Antaranya adalah bermujahadah dan berusaha bersungguh-sungguh melawan keinginan hawa nafsu.
Sabda Nabi s.a.w : ” Tidak beriman seseorang daripada kamu sehinggalah
hawa nafsu ( keinginannya ) tunduk kepada apa yang aku bawa ( Al-Quran dan Sunnah ) “
Ia suatu perkara yang sukar difahami oleh akal semata-mata. Kerana itu, cerdik dan bijaknya seorang manusia, tidak menjamin iman dan taqwanya kepada Allah. Bahkan, berapa ramai manusia yang cerdik dan pandai tetapi kufur dan ingkar kepada Allah.

MENYINGKAP SEBUAH KEINDAHAN
Melalui kehidupan yang penuh ranjau, menjadikan kita terhijab dari suatu keindahan yang sememangnya didatangkan untuk kita. Keindahan tersebut adalah Islam. Ia sampai kepada kita melalui Nabi Muhammad s.a.w setelah menempuh pelbagai mehnah dan tribulasi. Ia bukan semata-mata perihal solat dan puasa, bahkan merangkumi suatu bentuk cara hidup yang sempurna, mulia dan terpuji.
Malangnya, keindahan Islam yang sepatutnya kita jaga, semakin lama semakin terhijab dari pandangan mata kita. Sehinggalah apa yang kita nampak hanyalah hijab, tidak lagi Islam itu sendiri. Antara faktornya adalah kejayaan musuh-musuh Islam melakukan serangan pemikiran ( ghazwatul fikri ) ke atas ummat Islam seluruh dunia.
Serangan dalam bentuk pemikiran terbukti berjaya menghakis keindahan Islam dari mata ummatnya, khususnya golongan muda dan remaja.
Ideologi Islam yang suci dan bersih, sedikit demi sedikit diracuni oleh ideologi barat yang jelasnya mahu merosak dari dalam. Apa yang dianjurkan oleh Islam ditukar sedikit demi sedikit kepada apa yang dikehendaki oleh musuh-musuh Islam. Sistem yang diajarkan oleh Islam, ditukar dengan sistem yang dianjurkan oleh musuh-musuh Islam. Begitu juga dengan peraturan dan gaya hidup.

SKEPTIK
Sehinggalah kepada perihal adab dan akhlak. Bermodalkan sikap sebahagian ummat, konsep asal yang indah daripada Islam dinampakkan seolah-olah ianya tidak baik. Seorang muslim yang berkopiah dan gemar bercakap tentang Islam, namun produktiviti sebagai muslim cukup rendah, mutu pekerjaan sangat lemah dan akhlaknya tidak menjadi qudwah, dijadikan alasan oleh sebahagian orang untuk mendakwa bahawa rata-rata muslim yang berkopiah dan bercakap tentang Islam itu tidak baik.
Lalu dicari ‘kebaikan’ dari kacamata mereka sendiri. Apabila diseru kepada cara hidup Islam, aplikasi adab dan akhlak sebagai muslim, maka dipandang sebagai remeh dan skeptikal.
Mencari ‘kebaikan’ selain daripada Islam, sama sekali tidak akan ditemui. Kerana di mana sahaja wujud kebaikan, maka itulah Islam. Sikap dan tabiat buruk segelintir ummatnya, bukanlah modal untuk kita ‘membuang’ Islam dan mengganti dengan fahaman lain, sebaliknya menjadi tugas dan tanggungjawab kita memperbaiki perkara tersebut seterusnya memperjuangkan keindahan Islam untuk dihayati seluruh ummat manusia.
Bukankah Nabi s.a.w itu diutuskan sebagai rahmat seluruh alam?
Malangnya, apabila sebahagian daripada mereka-mereka yang menyedari tuntutan dakwah bersikap sinis terhadap keindahan Islam itu sendiri. Antara punca terbesar adalah kegagalan mereka memahami Islam itu sendiri daripada sumber yang betul. Tafsiran Al-Quran dan syarah kepada hadith serta sirah tidak dihadam dengan baik sebelum berpencak di medan dakwah, menjadikan apa yang mereka ucap dan perjuangkan akhirya mendatangkan fitnah.